note: afwan entry ni dipublish awal, kerana mulai malam esok seperti biasa.. saya akan mula ryoko lagi! :)
Kupicit-picit perlahan kakinya sambil mataku melilau memerhati garis-garis tua yang entah sejak bila memenuhi wajahnya. Tangan dan kakinya sudah berkedut, kendur tidak berisi. Oh, wanita mulia ini semakin dimamah usia, getus hatiku.
Aku lihat wanita mulia itu mula melelapkan mata. Sesudah memastikan dia lena, aku mengambil peluang mundar mandir di sekeliling rumah...
Kedudukan barang-barang kebanyakannya sudah berubah, ada yang tidak tersusun dan berdebu. Berbeza sungguh ketika aku meninggalkan rumah tiga tahun dahulu. Kemudian aku ke stor, lalu aku memetik suis lampu neon berwarna oren itu, kelihatan berkotak-kotak barang-barang dan buku-buku peninggalan arwah abah. Aku belek isi beberapa buah kitab Azhariyy, entah siapalah yang bertuah mewarisi khazanah ilmu ini.
MEMBANTAH.
"Duit hasil jualan rumah lama nanti, mama nak guna buat tambah rumah kita ni. Lepas raya haji nanti ke, tukang rumah tu boleh mula buat kerja" kata mama.
Aku diam sahaja, sudah beberapa kali mama sebutkan perkara ini di hadapanku.
"Tak perlulah tambah rumah ma... rumah ni pun dah cukup luas. Nanti duit tu kita guna untuk benda lain je." tungkasku, cuba menukar fikiran mama.
"Atin seorang je yg bantah cadangan mama ni.." balas mama sedikit kecewa.
Aduss..
Bukan begitu mama. Buat apa rumah besar-besar, nanti takde orang nak kemas rumah, bilik-bilik yang ada sekarang ini pun tak berkemas. Mama bukannya makin muda, anak-anak pun jauh-jauh. Aku kesiankan mama... kudratnya tak segagah dulu. Lagipun, tak akan puas pun kita merasa rumah besar di dunia sementara ini. Bilang aku... dalam hati la tapi.
Bukan aku tidak setuju, arwah tokwan juga seperti itu dulu... sudah lama mahu merasa tinggal di rumah batu, lalu rumah papannya dirobohkan, dan dibina rumah batu. Namun tidak sempat cicit sulungnya pulang, dia dulu sudah pergi meninggalkan kami. Aku tidak mahu bakal berlaku pembaziran sebegitu. Serik.
"Mama tambah bilik ni pun nak suruh anak cucu selesa bila balik rumah... kalau rumah sempit, nanti cucu tak nak balik. Anak abang long lagi, anak kak siti lagi...seorang-seorang pun dah berapa. Ke atin.. esok-esok ngan suami ngan anak-anak sangggup nak tidur kat dapur?" hihi, pandai mama trick.
Aku memandang dapur. "Takpe je pun ma....atin sanggup. Dapur tu pun luas. Boleh je hampar apa-apa buat alas.." balas aku sambil membayang kami sekeluarga tidur di situ. Ok je..
"Hmm.. kalau mama nak buat juga, nanti kalau anak-anak jarang balik... rugi je ruang yang besar kat rumah ni.. hmm.. atin buka tadika je lah ye, ma. Boleh juga mama main dengan budak-budak nanti" aku tersenyum lebar, sudah mula merancang kerja dakwahku.
"La... mama nak tambah rumah, nak suruh ruang kat sini dikemas lawa-lawa. Dah tak boleh kacau dah, sejadah kain sembahyang buku-buku semua letak kat tempat lain. Biarlah rumah kita cantik.. macam rumah orang lain sikit." balas mama.
Sayu hatiku mendengar ayat terakhirnya itu... lalu aku biarkan saja mama bercerita tentang rumah baru yang bakal direnovate itu.
Aku faham perasaan mama... mahu rumahnya cantik, cantik seperti rumah orang lain. Iyalah, rumah impiannya, rumah impian kami sekeluarga... telah lama terkubur, dikorban demi masa depan anak-anak.
duduk: adam dan tokminye..diperhatikan oleh abah adam dan ayah mi, villa resort cameron.AMIRUL DAN FAEZUL.
Aku berpatah balik mengambil handset abang long yang tertinggal di dalam kereta. "Ajul buat apa tu?" sergahku. Ajul tersengih... dia tercegat di tepi surau lama, menunggu abangnya yang ke tandas. "kak yang, kubur ni macam takde orang je.. nanti duit tabung ni diorang guna untuk apa?" tanya dia. "kubur ni kan kubur lama, nanti diorang guna lah duit tu kasi bersihkan kubur.." balasku, sambil memandang ke arah kubur. Kubur itu kubur lama, seperti tiada yang menjaganya. Ah, anak desa sudah mula menyombong, hilang dalam pesat bandar, lupa akan asal-usul keturunan mereka... sehingga pusara nenek moyang, sunyi tidak dikenali. Entah apa mereka cari.. bukankah kepada tuhan mereka kembali.
"Ooo, ajul nak masukkan duit kertas ni dalam tabung lah" aku kaget, suci sungguh hati kanak-kanak ini.. Amirul juga sama, dia telah letakkan sesuatu dulu dari adiknya sebelum dia ke tandas, mungkin Faezul terkesan dengan tindakan abangnya.
gambar: ayah su dan adam
gambar: ayah mi dan adam
Amirul dan Faezul, mereka berdualah hasil didikan penuh perhatian mama. Setiap malam mereka berdua tidak pernah tidur tanpa membaca doa dan beberapa surah untuk disedekahkan pada arwah abah, mereka pandai mengambil berat akan orang yang telah pergi. Setiap malam sebelum tidur jua, mereka akan meminta maaf pada mama, pada sesiapa yang berada di samping mereka. Selagi tidak lelap, selagi itulah mereka akan terus memohon maaf.
MERAJUK.
Baru sehari aku baru tiba di Malaysia, mestilah mama tak benarkan aku memandu jauh biarpun sejam, memandangkan aku sendiri sudah lama tidak memandu. Aku benar-benar mahu ke Pasir Puteh hari itu, sebelum aku bertolak ke Kuala Lumpur pada malamnya.
Aku terus memujuk, tapi mama tetap tak benarkan. Aku tak mahu beritahu mama sebenarnya... tetapi dengan perlahan, aku beritahu juga, "ma... sudah lama sangat atin tak ke kubur." Selang beberapa minit, aku diam, mula menangis. Sudah empat tahun aku tidak ke kubur abah, setahun sebelum berlepas ke Jepun, kami beraya di Sarawak, kemudian saat hampir berlepas, aku sibuk mengurus hal-hal yang patut sehingga lupa ziarah. Pulang bercuti kali pertama juga aku sibuk menghantar adik ke sekolah hari-hari sehinggga tiada masa. Aku takut andai sudah tidak berpeluang ziarah, jika tidak dibuat sekarang.
Mama diam berfikir, sejenak kemudian mama datang padaku... baiklah pergi siap-siap, biar mama drive, mama tak harap atin bawa kereta. Aku tersengih, aku tak bermaksud pun mahu menyusahkannya, tapi tak sengaja dah 'ter'menyusahkannya. Hehehe. Sayang juga mama kat aku. "Takpelah mama...nanti kita pergi masa raya je. " mama sudah pelik melihat aku tergelak-gelak seorang.
TOKCIK.
Kampung itu sunyi walaupun hari itu hari raya. Ia sudah tidak semeriah sepuluh tahun lepas. Tidak kelihatanpun anak kecil berlari-lari. Entah ke mana lah penduduknya... semuanya sibuk mahu ke kota.
Rumah arwah tokwan berkunci kerana tokmek mengikut ibu saudara kami tinggal di bandar. Oleh sebab kami pulang ke kampung sedikit awal, kami tak sempat bertemu mereka pada hari itu, kami sekadar meninjau rumah arwah tokwan dari luar sahaja.
Kata Mak Su Ma, habis barang-barang di bawah rumah arwah dicuri dan dipunggah orang. Betik masak di pohon pun dibawa lari! Tinggal kawah yang sangat besar tidak terusik.. mungkin agak berat untuk diusung. Mujur juga basikal jepun tua milik arwah tidak dikeleknya... basikal sport lebih menjadi pilihan. Biarlah.. basikal jepun tua itu lebih memberi nostalgia pada kami.
Sesudah menziarah kubur, kami singgah ke rumah tokcik. Rumahnya terletak selang sekebun dari rumah arwah tokwan. Tokcik menyambut kami dengan senyuman. Senyuman itu tak berubah, seperti lazimnya saban tahun. Aku suka senyumannya. Senyumannya tidak pernah lekang di bibir. Senyumannya menggambarkan kemuliaan hatinya.
Arwah abah, arwah tokwan dan tokcik. Tiga figure yang mempunyai senyuman yang serupa. Kerana kesamaan itu, aku mendoakan tokcik juga pergi dalam senyuman juga suatu hari nanti.
Tokcik ibarat ibu pada mama, tempat mama berkongsi cerita. Apabila kami berkumpul, aku suka duduk dekat padanya. Tokcik juga suka bercerita pada kami pasal arwah abah semasa kecil. Sudah beberapa tahun tokcik sakit, tubuhnya sentiasa terketar-ketar. Dia tidak sekuat dulu. Namun seperti biasa, dia tetap tak benarkan kami pulang sebelum kami makan nasi di rumahnya.
Kami bersembang, bertukar cerita dan gelak ketawa. Lalu mama menyampaikan berita, "tokcik... dok kelik doh bekali pasir puteh ni... tadop ore tuo doh etep"
Tokcik membisu. "Ni buke ore tuo ko ni?"
Tokcik menangis! Dia mengesat airmatanya dengan selendang lusuhnya. Aku tidak sampai hati melihat tokcik menangis, lalu aku meneman air matanya. Aku lihat mata mama merah... lalu dia memalingkan wajahnya ke lain.
TOKMEK.
Tokmek bangun menyambut kami dengan senyuman. Dia sudah bongkok seperti orang rukuk. Jalannya perlahan. Seingat aku kondisinya tidak seteruk ini sebelum aku meninggalkan bumi Malaysia dahulu. Cerah kulit tok mek... mungkin tinggal di rumah batu di bandar ini mencerahkan kulit mukanya. Jika di kampung, dia kepanasan berjalan ke sana ke mari.
gambar: tok mek dan cicit sulungnya.
Teringat aku ketika menziarahinya sebelum berlepas tiga tahun dulu, kami duduk bersembang, dengan sangat lama. Itulah kali pertama aku bersembang dengannya.. dan tokmek asyik sengih pada setiap masa. Tokmek bukanlah seorang yang suka bercakap sebenarnya, dia lebih suka diam. Berbeza dengan arwah tokwan yang suka bercerita. Kerana itu, aku dan orang di sekelilingnya merasa 'kepelikan' kerana pada hari itu aku mampu membuatkan dia banyak bercakap.
Aku ceritakan juga padanya bidang pelajaran kami adik-beradik dalam loghat dan bahasa yang difahaminya. Tok mek seronok mendengar... pasti dia bangga dengan cucu-cucunya. Sesekali dia menyentuh lembut belakang badanku dan mengusap-usapnya. Katanya empat tahun di jepun bukannya lama, sebentar sahaja. Cerita kak siti, tokmek siap ingat tarikh aku berangkat ke jepun!
SEDIAKAN KUBUR UNTUKKU.
Sewaktu pulang dari kampung petang raya itu, kami melintas perkuburan yang terletak lima minit dari rumah, lalu mama berpesan "nanti bila mama meninggal... tanamkan mama dekat kubur sini saja lah, biarlah tak sebelah kubur abah pun, pasir puteh tu jauh...kesian anak cucu nak pergi ziarah jauh-jauh."
Tersentuh hatiku.. tiba-tiba aku teringat,
Dahulu, aku menghantar arwah abah dengan tangisan yang banyak...
kini duhai mama, sudah banyak tangisanku untuk segala keperitanmu di dunia ini,
aku mahu pastikan... kelak aku menghantarmu dengan senyuman!
---------------------------------------------------
Tanggal 29 Disember nanti hari kelahiran saya, inshaAllah genap saya berumur 23tahun di dunia fana' ini. Saya mahu ucapkan terima kasih atas kasih sayang wanita mulia itu.. yang janinnya saya tumpang selama 9bulan dan air susunya yang saya minum sampai kenyang itu. Saya telah dilahirkan dengan susah payah sehingga perutnya terpaksa dibelah.. menyaksikan betapa susahnya saya mahu keluar ke bumi ini... dan betapa beratnya amanah yang saya pikul sebagai 'ibadullah dan khalifah Allah. Saya mendoakan keberkatan buat wanita mulia itu di dunia dan di akhirat.